Sejarah ilmu linguistik,
golongan pertama yang bergiat dalam bidang pengkajian bahasa ialah
orang-orang Yunani.Tamadun Yunani merupakan satu tamadun terawal yang
wujud di atas muka bumi ini. Kehebatan tamadun ini merangkumi semua aspek
seperti bahasa, ekonomi, budaya dan politik. Kegiatan dalam pengkajian bahasa
bermula kira-kira 500 tahun sebelum masihi. Disebabkan seluruh kehidupan mereka
dibendung oleh falsafah, maka kajian mereka tentang bahasa banyak dipengaruhi
oleh pemikiran yang berbentuk falsafah. Falsafah bahasa bermula pada zaman
pra-Socrates, iaitu pada abad ke-6 sebelum masihi. Falsafah Bahasa merupakan
satu teras kepada bermulanya satu falsafah yang menjadi pegangan dan kekuatan
masyarakat ketika itu.
Tokoh hebat dalam
pengkajian bahasa pada zaman Yunani ialah Plato dan Aristotle, iaitu murid
Plato. Plato (427 – 347) merupakan ahli falsafah pertama yang mengenal pasti
dan menyelidik bahasa sebagai suatu masalah dan persoalan melalui karyanya yang
berbentuk dialog, iaitu Cratylus. Dialog Cratylus telah mencetuskan
kontroversi berabad-abad lamanya, iaitu antara kumpulan analogis yang
mempercayai bahawa bahasa bersifat alamiah, nalar dan logis dengan kumpulan
anomalis yang berpegang kepada kepercayaan bahawa bahasa tidak nalar
sepenuhnya. Plato telah menimbulkan persoalan adakah ketepatan sesuatu nama
berasaskan tabii dan realiti atau konvensyen, iaitu berdasarkan persetujuan
masyarakat. Beliau juga menyelidik tentang tatabahasa yang membezakan antara
kata nama dengan kata kerja. Plato telah meletakkan fungsi kata nama sebagai
subjek kepada predikat dan kata kerja sebagai penerangan kepada perbuatan.
Ilmu linguistik terus
berkembang pada zaman Aristotle tahun 384 – 322 sebelum masihi dengan menambah
satu lagi pembahagian dalam tatabahasa, iaitu kata penghubung. Beliau
memperkembang dan memperdalam pemikiran tentang falsafah bahasa yang diasaskan
oleh Plato. Aristotle merupakan sarjana yang mula-mula mengakui tentang
adanya sistem kala atau tense dalam bahasa Yunani. Gagasan
lain yang dikembangkan oleh Aristotle ialah fungsi bahasa sebagai alat,
khususnya untuk retorik dan puisi. Beliau menganggap bahawa bahasa itu sebagai
suatu juzuk dunia, tetap dan dapat diperoleh dalam tulisan yang menjadi subjek
tatabahasa dan sebagai cara menunjukkan apa-apa sahaja yang ada di dunia yang
menjadi subjek logika.
Secara umumnya, kita
dapati bahawa kajian mengenai bahasa pada era Yunani lebih tertumpu kepada
tatabahasa. Namun demikian, kaedah kajian mereka lebih bercorak logik dan
bukannya saintifik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan