BAHAN 2 : ARTIKEL ( SURAT KHABAR )
MARTABATKAN BAHASA MELAYU PADA ZAMAN GLOBALISASI
LANGKAH Kementerian Pelajaran membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan patut mendapat pujian semua pihak kerana ia mampu memenuhi tuntutan semasa dalam era globalisasi.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein membuat penegasan itu pada majlis sambutan Jubli
Emas dan perasmian Menara DBP yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong,
Tuanku Syed Sirajuddin Tuan Syed Putra Jamalullail di Kuala Lumpur baru-baru
ini.
Katanya: “DBP perlu dibantu kerana
tanpa bantuan itu hasrat untuk melihat bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang
memenuhi tuntutan semasa tidak akan kesampaian.”
Beliau tidak menafikan kedudukan
bahasa kebangsaan pada era ini begitu mencabar kerana berlaku pergerakan
pantas pada maklumat, sumber kewangan dan budaya malah ia turut memberi
ancaman terhadap bahasa, budaya dan kepercayaan beragama sesebuah negara.
Hishammuddin berkata, dalam konteks
bahasa, matlamat akhir kerajaan adalah untuk melahirkan generasi masa depan
bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa yang menjad identiti mereka,
mempunyai kefasihan yang tinggi dan sedia memberikan penghormatan serta
kedudukan kepada bahasa kebangsaan walau di mana mereka berada.
Sehubungan itu, beliau menyeru
Sasterawan Negara, pakar-pakar bahasa dan setiap rakyat memberikan sokongan
padu ke arah memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan yang menjadi identiti bangsa di negara ini.
Pendapat Hishamuddin itu disifatkan
oleh golongan sasterawan dan pakar bahasa di negara ini sebagai mampu
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penting di Nusantara.
Sasterawan Negara Muhammad Abdul Biang yang lebih dikenali
sebagaiArena Wati berkata, semua
pihak perlu memberikan sokongan kepada DBP dalam usaha memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu dan sastera.
“Kalau kita tidak mendaulatkan
kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, siapa lagi yang boleh
berbuat demikian?
“Kita tidak mahu melihat bahasa
Melayu dipinggirkan kerana kita bimbang bahasa kebangsaan akan diketepikan di
negara sendiri,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut baru-baru
ini.
Arena Wai menambah, penggunaan bahasa
Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa lain juga boleh menyebabkan
kedudukan bahasa itu terhakis.
Oleh itu, katanya, usaha bagi
mendaulatkan bahasa Melayu hendaklah disokong oleh setiap rakyat. Beliau
tidak mahu hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa jati diri bangsa menjadi
tidak jelas fungsinya.
“Saya bimbang dengan sikap sesetengah
pihak yang masih takut-takut dan memperkecil-kecilkan kedudukan bahasa Melayu
kerana sudah jelas bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca,”
tambahnya. Tegas Arena Wati, bahasa Melayu kini menjadi bahasa kelima
terbesar di dunia. Perasaan yang sama turut dilahirkan oleh Pensyarah Bahasa
di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Awang Sariyan.
Beliau berkata, kedudukan bahasa
Melayu perlu dipertahankan kerana ia merupakan bahasa jati diri bangsa Melayu.
Katanya, usaha mempertahankan bahasa
Melayu perlu dipandang serius kerana ia adalah bahasa pengantar dalam sistem
pendidikan negara dan merupakan bahasa bidang perundangan.
“Saya harap semua pihak mendaulatkan
penggunaan bahasa Melayu kerana tanpa usaha itu saya bimbang bahasa itu akan
terpinggir dalam era globalisasi sekarang,” jelasnya.
Sementara itu, bagi memeriahkan
sambutan 50 tahun DBP sepanjang tahun ini, DBP telah menyusun beberapa
program dalam usaha menyenaraikan sambutan itu di seluruh negara.
Antara program tersebut ialah Malam
Pengucapan Puisi di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 26 Jun, Pelancaran
Adaptasi Novel Ke Drama (27 Jun), Pertandingan Lagu Puisi di Kuching (27 Jun)
dan Baca Cerpen Tunas Cipta 7 di Johor (2 Julai).
Anugerah Citra Wangsa Malaysia pula
akan diadakan di DBP Kuala Lumpur pada 14 Julai, Majlis Hamparan Budi Jalinan
Kasih di DBP Kuala Lumpur (21 Julai), Teater Perdana Wangi Jadi Saksi di DBP,
Kuala Lumpur (20 hingga 30 Julai), Teater Darah Yang Mengalir (8 hingga 9 Ogos)
dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII pada 15 hingga 17 September).
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan