BAHAN 3: ARTIKEL ( Berita
Harian 2006 )
Cabaran Memperkembang
Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat
APABILA berdepan dengan teknologi maklumat (TM), Internet, ruang
siber, globalisasi dan liberalisasi, apakah yang terjadi dan akan terjadi kepada
bahasa Melayu nanti? Yang jelas ialah pendulum di seluruh dunia telah berayun
ke arah mempelajari dan memperkembang bahasa Inggeris, bahasa dunia!
Jawapan kepada soalan di
atas terletak pada kemampuan, kebolehan, kepintaran dan kekreatifan kita
menggunakan bahasa Melayu, yang sudah mempunyai kekuatan dan status yang ada;
bahasa yang keempat besarnya di dunia. Beberapa isu itu sudah dibincangkan
dalam rencana saya dalam Dewan Bahasa (November 2003: 16-24).
Kekuatan dan status bahasa Melayu kini terletak pada sifat-sifat asasi yang
membolehkannya dikembangkan dari masa ke masa. Sifat-sifat itu bukanlah
penganugerahan daripada kuasa Tuhan, tetapi hasil kejuruteraan bahasa melalui
pembentukan sosial, ekonomi, politik dan lain-lain daripada manusia yang menggunakannya.
Keajaibannya juga terbukti pada peranannya sebagai bahasa perpaduan rakyat
Malaysia yang berbilang kaum selepas kita mencapai kemerdekaan pada 1957.
Bahkan bahasa Melayu pernah menjadi bahasa perdagangan, dan lingua franca
antara orang rumpun Melayu dengan orang bukan rumpun Melayu. Kegemilangan masa
lampau itu boleh kekal selagi semua rakyat bertekad untuk memperkembangnya
dalam menghadapi arus globalisasi dan liberalisasi.
Untuk menghadapi cabaran
baru dalam era TM dan seterusnya, bahasa Melayu perlu dikembangkan menjadi
bahasa sumber ilmu, bahasa sumber pemodenan, bahasa sumber maklumat, bahasa
sumber pengetahuan, bahasa sumber sains dan teknologi, lebih-lebih lagi bahasa
sumber kewangan. Untuk berbuat demikian, lebih banyak bahan bacaan dan rujukan
dalam TM perlu dihasilkan. Impian itu hanya boleh tercapai dengan adanya lebih
banyak pengarang, penyelidik, guru, penerbit dan institusi penyelidikan.
Selain itu, sebahagian bahan itu mestilah berbentuk digital untuk memenuhi
kehendak generasi muda yang membesar di depan komputer, Internet, pangkalan
data dan portal. Tanggungjawab memperkembang, mempertahankan dan memodenkan
bahasa kebangsaan yang berat ini tidak dapat dipikul oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pendidikan atau Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja.
Dengan kata lain, semua pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan mesti melibatkan
diri secara aktif.
Inilah masanya untuk
kita melakukan suatu yang besar maknanya kerana kita masih berada di pangkal
jalan era TM. Jika tidak, kita akan karam dalam arus globalisasi yang juga
digelorakan bahasa Inggeris, selain kuasa ICT (Information, Communication
and Technology). Memandangkan semakin banyak rakyat Malaysia kini sudah
berpendidikan tinggi, maka seharusnya tahu melakukan kerja dengan lebih bijak,
inovatif, kreatif dan produktif dan seharusnya mencontohi jejak langkah sarjana
dan institusi di England, Amerika Syarikat dan Australia, misalnya dalam
memperkembang bahasa Inggeris. Usaha itu sepatutnya dapat dilakukan dengan
lebih mudah dan berkesan dengan bantuan teknologi maklumat. Daripada projek
penyelidikan bahasa Inggeris sepertiTechnology Enhanced Language
Learning (TELL) danComputer Assisted Language Learning (CALL)
yang dilakukan di England, Amerika Syarikat dan Australia, kini sudah ada data
bahasa terbaca mesin yang boleh diperoleh dalam CD-ROM, Internet dan pakej
elektronik yang lain tentang bahasa Inggeris.
Peluang untuk
melakukannya terbuka luas kini dengan semakin banyak alat bantuan sudah tersaji
di hadapan kita. Minat kita terhadap bahasa Melayu sudah meningkat ekoran
peningkatan penekanan negara asing terhadap pasaran ekonomi di Alam Melayu.
Cabaran kepada bahasa Melayu pada masa depan terletak pada sama ada kita boleh
memperkembangnya menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber ekonomi, bahasa
sumber teknologi dan bahasa sumber pemodenan yang boleh diharapkan untuk
membuka pintu gerbang ilmu, mencari mutiara maklumat, dan menaiki mahligai
pendidikan yang lebih tinggi untuk dapat menikmati rasa pemodenan, sekali gus
peningkatan taraf hidup. Perjalanan itu bukan sahaja panjang, tetapi juga
berliku-liku dan penuh ranjau. Segala-galanya, menuntut peningkatan intelektual
rakyat Malaysia dan pengintelektualan bahasa Melayu. Untuk melaksanakannya,
lebih banyak buku dan pengarang diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak
bahan bacaan dan rujukan dalam bidang IT.Sehubungan itu, portal www.malaycivilization.com
yang dibina khas di ATMA itu cumalah satu tapak kecil dalam langkah besar kita
untuk menyebarkan bahan berbahasa Melayu di ruang siber. Pendek kata, pintu
untuk memperkembang bahasa Malaysia sudah bertambah baik, semakin menjadi lebih
menarik.
SUMBER : Berita harian - Rabu 17 mei 2006 (halaman
tiga)
PENULIS : Felo Penyelidik Utama di
Institut Alam & Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia.
E-MEL PENULIS:
dingukm@yahoo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan